Sunday, September 7, 2008

RAGUT...

Pagi Jumaat, ketika saya baru nak keluar ke majlis Tazkirah Ramadhan Fakulti, seorang abang ingin berjumpa berkenaan hal adiknya. Beliau memberitahu, adiknya iaitu seorang pelajar dibawah seliaan saya berada dalam keadaan trauma dan tidak dapat meneruskan pengajian pada semester ini. Pelajar tersebut telah menjadi mangsa ragut dan mengalami kecederaan yang agak parah. Kes tersebut berlaku di jalan berhadapan UiTM. Katanya, adik beliau sedang menaiki motosikal dan tiba-tiba dihampiri oleh sebuah motosikal yang cuba meragut beg adik beliau. Pelajar tersebut juga ditikam di bahagian pinggang dan motosikalnya ditendang peragut yang tidak puas hati kerana gagal mendapatkan beg pelajar tersebut. Tindakan itu menyebabkan pelajar jatuh dari motosikal dan mengalami cedera serius di bahagian muka. Ketika laporan polis dibuat, didapati bahawa pada hari tersebut telah berlaku 6 kes yang serupa. Jika suatu masa dahulu, Shah Alam boleh dikatakan suatu kawasan yang selamat, nampaknya kini tidak lagi. Mungkinkah kebanjiran pendatang asing menjadi punca? Atau...adakah bebanan ekonomi menjadi penyebab manusia hilang peri kemanusiaan?? Apa-apa pun, berhati-hatilah di mana sahaja kita berada.

No comments: